Daerah Bera pada mulanya merupakan sebahagian daripada Daerah Temerloh. Bera diisytiharkan menjadi Dareah Ke-11 di Negeri Pahang secara rasmi pada 01 Januari 1992. Nama Bera digunakan bersempena Tasik Bera yang merupakan tasik semulajadi terbesar di Malaysia. Taman Jaya Kemayan terletak bersempadan dengan Jempol (Negeri Sembilan) yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Cina (81%), Melayu (7%), India (5%), Orang Asli dan Lain-Lain Kaum (7%). Jarak perjalanan ke Bandar Triang adalah sejauh 12KM dan Bandar Bahau 40KM.

Kebanyakan penduduk disini memperolehi rezeki menerusi sektor pertanian terutamanya kelapa sawit dan getah kerana ia merupakan sumber pendapatan tradisi yang telah wujud sejak dahulu lagi. Selain itu juga, minat penduduk dalam bidang perniagaan juga telah cenderung melahirkan para usahawan dan perniaga yang terlibat dalam bidang permakanan, perkhidmatan bekalan bahan barangan mentah, keperluan dan perkakasan harian serta pelbagai cabang perniagaan lain. Dalam menghadapi zaman globalisasi ini juga, tidak dapat dinafikan ramai di kalangan anak-anak mudah berhijrah ke bandar mencari pekerjaaan tetap sama ada di dalam sektor perkhidmatan awam atau swasta.

Dari segi politik pula, Daerah Bera mempunyai seorang ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Bagi ahli Dewan Undangan Negeri, Daerah Bera dibahagikan kepada 3 kawasan iaitu DUN Guai, DUN Triang dan DUN Kemayan yang dipimpin oleh YB. Encik Mohd Fadil Bin Osman.

 1