"TASIK BERA"

Terletak di barat daya Pahang, Tasik Bera adalah sebuah sistem tasik air tawar sepanjang 35KM dan selebar 20KM yang mengalir ke Sungai Pahang melalui Sungai Bera. Jarak perjalanan dari Kemayan ke Tasik Bera ialah 53KM. Tasik bera juga merupakan Tapak Ramsar, Ramsar merupakan senarai tanah lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap yang diadakan di Ramsar, Iran pada tahun 1971. Malaysia kini mempunyai enam Tapak Ramsar dan Tasik Bera, Pahang merupakan Tapak Ramsar yang pertama di Malaysia.
 
Ia merupakan tasik air tawar terbesar di Malaysia yang juga unik dan terpencil. Dikelilingi hutan dipterokarp tanah rendah yang kering, persekitaran tasik ini mencapai kawasan-kawasan hutan paya gambut. Ekosistem TasIk Bera kaya dengan pelbagai jenis hidupan liar dan tumbuhan dan juga menjadi tempat tinggal orang Asli suku Semelai di sekitar kawasan tanah lembap.
 
Waktu terbaik untuk melawat TasIk Bera bergantung kepada musim hujan dan kering yang berlaku di sini. Adalah dinasihatkan supaya pengunjung datang selepas musim hujan kerana tasik ini akan menjadi lubuk pemancing yang baik selepas hujan lebat. Musim kering berlaku antara bulan Februari hingga April dan Jun hingga Ogos. Tasik ini dizahirkan oleh pemandangan air yang didominasi daun-daun pandanus yang mengelilingi terusan-terusan sempit yang menghala ke tasik. 
 
Pelbagai spesies paku pakis, anggerik dan tumbuhan menumpang dapat dilihat di batang dan dahan pokok, sementara batang-batang rotan berduri berlingkar di lantai hutan. Berdozen periuk kera berwarna hijau dan merah tumbuh di rumpunan "reed" dan hutan tebal di tengah tasik.Tasik ini dan kawasan sekitarnya menjadi tempat pelindungan lebih daripada 200 spesies burung, 50 mamalia dan 90 spesies ikan. Kawasan hutan tanah rendah yang kaya dari segi biologi, dengan kepelbagaian, menjanjikan peluang yang banyak untuk aktiviti ‘jungle trekking' dan pemerhatian alam semulajadi.
 
Para pengunjung juga boleh menginap di PESONA LAKE RESORT yang menawarkan pelbagai chalet, bilik mewah dan asrama. Selain daripada kemudahan asas dan ‘coffee house’ tetamu boleh melakukan aktiviti kayak dan trekking hutan bersama pemandu. Pelancong juga dibenarkan untuk membina khemah berdekatan bagi merasai suasana didalam hutan.

TASIK BERA